Alhamdulillah, punya kekuatan untuk bersama-sama rakan-rakan mengisi makanan rohani. Tajuk yang berat, bak kata Ustaz Haji Ahmad Dasuki, penceramah pada hari itu. Topik yang dikupas adalah mengenai kematian. Topik yang dekat dengan kita, yang pasti suatu masa pasti akan tiba buat kita bakal-bakal jenazah. Bak kata pengerusi majlis pada malam itu. Gelaran doktor belum tentu lagi akan dapat, tapi gelaran "bakal jenazah" pastinya akan dimiliki.
Mungkin agak kasar, tapi itulah hakikatnya. Kita semua adalah bakal-bakal jenazah.
Betapa, kematian itu pasti akan tiba, tapi apakah persiapan yang telah kita lakukan untuk menghadapi kematian itu?
Jika ajal menjemputmu hari ini atau esok, apakah kau sudah bersedia, wahai insan?Teringat akan satu soalan daripada seorang pensyarah,
Jika kamu diberitahu bahawa kamu hanya ada masa selama sebulan lagi untuk hidup, apakah kamu akan mengubah cara hidup kamu atau teruskan hidup seperti biasa?Dan, seisi kelas terdiam, berfikir. Kemudian, beberapa orang berbisik-bisik. Ada yang mengatakan;
Ya, saya akan ubah cara saya hidup ke arah yang lebih baik.Ada yang terus terdiam.
Ada yang hanya mampu berfikir.
Dan, saya, hanya satu yang mampu saya katakan, "Teruskan hidup."
Kemudian, pensyarah tu berkata,
Imam Ghazali pernah ditanya soalan itu lalu beliau menjawab, aku akan terus hidup dengan cara hidup aku yang sama dan tidak akan mengubah cara hidupku kerana aku hidup selama ini seolah-olah merasakan ajalku akan tiba esok hari. Jadi, aku telah mempersiapkan diri aku menghadapi kematian itu.Jadi, jika jawapan kita;
Ya, aku akan berubah.Pastinya kerana kita merasakan cara hidup kita pada hari ini bukan cara hidup yang sebenar. Dan, kita masih ada peluang untuk berubah.Jika jawapan kita,
Tidak. Aku takkan sesekali berubah. Berbanggalah kerana kau sedang menjalani kehidupanmu dengan cara yang sebenar selayaknya yang Islam kehendaki. Pastinya, jika ajal menjemputmu hari ini, kau pastinya sudah tidak ada sesuatu untuk dikesali.Dan. Saya, berkata yang saya akan teruskan hidup, bukan kerana merasakan saya sudah menjalani kehidupan selayaknya seorang Muslim patut hidup tetapi kerana saya ingin teruskan hidup dengan apa yang saya ada. Kerana, saya berasa, tidak ada perlunya menukar diri menjadi insan lain. Tetapi, pastinya, saya akan mengubah cara hidup ke arah yang lebih baik, menjadi insan yang lebih baik. Pastinya, dosa-dosa yang telah saya lakukan, akan saya mohon sepenuh keampunan dari ALLAH. Pastinya, hidup saya akan berubah. Tetapi, saya tetap diri saya, belajar, bekerja dan terus menjadi insan yang sama tetapi berubah ke arah yang lebih baik.



No comments:
Post a Comment