Setelah diuji Allah dengan kegagalan yang paling besar yg pernah dia lalui, seorang akhawat ditanya oleh akhawat yang lain, "Kenapa nak terus dijalan dakwah ini? Bukankah Allah telah menguji awak dengan kegagalan? Awak berusaha menyebarkan dakwah, menyeru kepada kebaikan, berjuang di medan tarbiyah, tapi Allah masih menguji awak dengan kegagalan yang sebegitu hebat. Kenapa tak nak berhenti? Berhentilah dengan apa yang awak buat, ia tidak akan merugikan awak. Malah awak mesti ada masa yang lebih banyak untuk belajar."
Sambil tersenyum, akhawat ini menjawab "Sesungguhnya, solatku, ibadahku, hidup dan matiku hanya untuk Allah. Pasti ada hikmah bila Allah uji sebegini. Pasti ada dosa saya yang ingin Allah lunturkan. Allah sedang menolong saya membina kekuatan ruhi. Allah ingin menguji adakah saya mampu meneruskan tarbiyah ini selepas diuji sebegini atau rebah dan berputus asa. Allah lebih mengetahui sedangkan kita tidak."
SubhanaAllah, hebatnya jati diri seorang Muslim yang teguh berpegang kepada tali ketaqwaan. Yang bergantung sepenuhnya kepada Allah. Menyerahkan seluruh hidupnya hanya kepada Allah. Malah tidak pernah bersangka buruk terhadap takdir-Nya. Kekuatan ini yang kita inginkan. Tarbiyah ini yang kita mahukan. Individu Muslim ini yang ingin kita bina agar terlahirnya sebuah Baitul Muslim, Masyarakat Muslim dan seterusnya Kerajaan Islam.
Allahurabbi. Mampukah kita menjadi seperti ini?
Seorang Muslim yang berpegang teguh kepada penciptanya, sentiasa bersangka baik dengan Allah pastinya seorang Muslim yang hebat. Hebat fizikalnya, hebat ruhinya. Berapa ramai yang mampu menjadi seperti ini?
Di saat diuji dengan kegagalan, dipandang rendah oleh insan lain, dikeji, dihina, diperlekehkan, dia masih terus tersenyum. Tanpa rasa marah atau dendam. Ya Allah Ya Rahman Ya Rahim. Betapa hebatnya cinta hamba-Mu ini.
Meletakkan Allah dalam kehidupan melebihi segalanya, al-Quran jadi hiburan dan teman, dimanakah dapat kutemui insan sebegini pada zaman ini? Hatinya telah dididik dengan al-Quran dan as-Sunnah. Dipenuhi dengan cahaya petunjuk. Hidupnya hanya untuk Allah.
Sunday, October 19, 2014
Thursday, October 16, 2014
Istiqamah. Mampukah aku?
Istiqamah itu susah. Istiqamah itu harus dipaksa.Kadang, hampir menangis. Kadang hampir putus asa. Kadang hampir ku ingin tinggalkan segalanya. Kerana terlalu sukarnya bagiku untuk terus istiqamah. Kerana begitu payahnya mengekalkan istiqamah.
Saat pasang surut iman dalam hati, terdetik, dosa apakah yang telah membutakan hatiku yang akhirnya meletakkan urusan dunia lebih dari Dia? Tika aku merasa malas melakukan kebaikan, terdetik, apakah diri ini terlalu hebat hingga sanggup melupakan Dia? Tika aku bertangguh dalam ibadah, terdetik, Dia tidak pernah menangguh saat kematian. Doa yang aku pohon, selalu diminta agar diperkenankan dan dipercepatkan sedangkan aku sering bertangguh melakukan amal. Tanpa ku sedar, aku mementingkan diri sendiri.
Jalan hijrah ini sukar. Penuh onak duri. Perlukan pengorbanan yang tinggi. Perlukan kesabaran. Perlukan kekuatan.
Betapa sukarnya untuk aku dalam jalan hijrah ini. Ingin aku terus di jalan-Nya. Ingin aku terus kembali kepada fitrah. Ingin aku terus mencintai Dia.
Allah. Kau yang membolak-balikkan hati, tetapkanlah hatiku aku dalam agama-Mu.Airmata ini, bagaikan empangan yang mengalir. Betapa aku merasa hina. Betapa aku merasa kerdilnya sebagai hamba-Nya.
Kenapa sukarnya untuk aku terus istiqamah dalam agama-Nya? Dosa apakah yang menghalang diriku?
Ada tikanya, saat aku hampir putus asa, hampir rebah, hampir ingin berhenti meraih cinta-Nya, pada tika itu aku sedar betapa agungnya cinta-Nya.
Tika saat aku hanyut dengan keseronokkan dunia, hanyut dengan hiburan, hanyut dengan kehidupan duniawi dan jauh dari Dia; aku merenung ke langit. Saat itu, terasa kerdilnya diri ini disisi-Nya. Betapa hebatnya Dia Yang Maha Mencipta.Aku pernah menangis. Merasa betapa hinanya diri ini,betapa kerdilnya diri ini di hadapan Allah saat aku rebah dengan hasutan syaitan. Terbuai dengan nafsu dunia.
Aku pernah menangis saat merasakan betapa hinanya aku kerana tewas dalam perjuangan ini. Tewas dalam menjadi insan yang lebih baik. Tewas dalam istiqamah dalam ibadah. Tewas dengan hasutan syaitan.
Benar. Dalam saat-saat sukar, aku sering menangis. Tewas. Rebah. Saat aku rasa tidak kuat dalam menempuh ujian Allah. Saat aku merasakannya aku tidak mampu terus dalam jalan hijrahku ini.
Tapi. Aku sedar, Allah sentiasa bersamaku. Tidak pernah tinggalkanku. Setiap ujian dari-Nya adalah tanda kasih-Nya. Untuk melunturkan dosa-dosa silamku.
Dia, Allah, Tuhan yang Maha Pengasih. Begitu banyak yang telah Dia kurniakan dalam hidup ini. Udara yang aku hirup, Angin yang menghembus lembut. Langit yang memayungi. Awan yang berarak membawa hujan. Titis rintik yang lembut menyapa tubuh. Pohon tempat aku berteduh. Semua itu kurniaan Dia. Tak pernah Dia minta dibayar harga untuk semua itu. Tubuh badan yang sihat. Kedua kaki yang membantu aku bergerak diatas bumi-Nya ini. Kedua tangan yang menyuap sesuap nasi. Mata yang mampu melihat indahnya dunia ini. Semua ini milik-Nya, diberi percuma tanpa bayaran. Melainkan untuk aku terus beribadah kepada-Nya.
Jadi, kenapa harus aku berpaling dari-Nya? Mengapa harus aku mencari selain Dia? Mengapa harus aku mencintai selain dari Dia?
Ya Allah, begitu banyak dosaku. Begitu banyak khilafku. Betapa aku jahil. Setelah Kau campakkan Nur hidayah dalam hatiku, mengapa harus aku berpaling dari-Mu.
Ya Allah, hidayah ini mahal harganya. Hidayah ini satu anugerah. Hidayah ini terlalu hebat. Kerana, dengannya aku temui cinta-Mu. Kerana dengannya aku redha dengan takdir-Mu. Kerana dengannya aku kembali kepada fitrah-Mu.
Subscribe to:
Posts (Atom)



