CLICK HERE FOR FREE BLOGGER TEMPLATES, LINK BUTTONS AND MORE! »

Thursday, October 16, 2014

Istiqamah. Mampukah aku?

Istiqamah itu susah. Istiqamah itu harus dipaksa.
Kadang, hampir menangis. Kadang hampir putus asa. Kadang hampir ku ingin tinggalkan segalanya. Kerana terlalu sukarnya bagiku untuk terus istiqamah. Kerana begitu payahnya mengekalkan istiqamah.

Saat pasang surut iman dalam hati, terdetik, dosa apakah yang telah membutakan hatiku yang akhirnya meletakkan urusan dunia lebih dari Dia? Tika aku merasa malas melakukan kebaikan, terdetik, apakah diri ini terlalu hebat hingga sanggup melupakan Dia? Tika aku bertangguh dalam ibadah, terdetik, Dia tidak pernah menangguh saat kematian. Doa yang aku pohon, selalu diminta agar diperkenankan dan dipercepatkan sedangkan aku sering bertangguh melakukan amal. Tanpa ku sedar, aku mementingkan diri sendiri.



Jalan hijrah ini sukar. Penuh onak duri. Perlukan pengorbanan yang tinggi. Perlukan kesabaran. Perlukan kekuatan.

Betapa sukarnya untuk aku dalam jalan hijrah ini. Ingin aku terus di jalan-Nya. Ingin aku terus kembali kepada fitrah. Ingin aku terus mencintai Dia.


Allah. Kau yang membolak-balikkan hati, tetapkanlah hatiku aku dalam agama-Mu. 
Airmata ini, bagaikan empangan yang mengalir. Betapa aku merasa hina. Betapa aku merasa kerdilnya sebagai hamba-Nya.

Kenapa sukarnya untuk aku terus istiqamah dalam agama-Nya? Dosa apakah yang menghalang diriku?

Ada tikanya, saat aku hampir putus asa, hampir rebah, hampir ingin berhenti meraih cinta-Nya, pada tika itu aku sedar betapa agungnya cinta-Nya.

Tika saat aku hanyut dengan keseronokkan dunia, hanyut dengan hiburan, hanyut dengan kehidupan duniawi dan jauh dari Dia; aku merenung ke langit. Saat itu, terasa kerdilnya diri ini disisi-Nya. Betapa hebatnya Dia Yang Maha Mencipta.Aku pernah menangis. Merasa betapa hinanya diri ini,betapa kerdilnya diri ini di hadapan Allah saat aku rebah dengan hasutan syaitan. Terbuai dengan nafsu dunia.

Aku pernah menangis saat merasakan betapa hinanya aku kerana tewas dalam perjuangan ini. Tewas dalam menjadi insan yang lebih baik. Tewas dalam istiqamah dalam ibadah. Tewas dengan hasutan syaitan.

Benar. Dalam saat-saat sukar, aku sering menangis. Tewas. Rebah. Saat aku rasa tidak kuat dalam menempuh ujian Allah. Saat aku merasakannya aku tidak mampu terus dalam jalan hijrahku ini.

Tapi. Aku sedar, Allah sentiasa bersamaku. Tidak pernah tinggalkanku. Setiap ujian dari-Nya adalah tanda kasih-Nya. Untuk melunturkan dosa-dosa silamku.

Dia, Allah, Tuhan yang Maha Pengasih. Begitu banyak yang telah Dia kurniakan dalam hidup ini. Udara yang aku hirup, Angin yang menghembus lembut. Langit yang memayungi. Awan yang berarak membawa hujan. Titis rintik yang lembut menyapa tubuh. Pohon tempat aku berteduh. Semua itu kurniaan Dia. Tak pernah Dia minta dibayar harga untuk semua itu. Tubuh badan yang sihat. Kedua kaki yang membantu aku bergerak diatas bumi-Nya ini. Kedua tangan yang menyuap sesuap nasi. Mata yang mampu melihat indahnya dunia ini. Semua ini milik-Nya, diberi percuma tanpa bayaran. Melainkan untuk aku terus beribadah kepada-Nya.

Jadi, kenapa harus aku berpaling dari-Nya? Mengapa harus aku mencari selain Dia? Mengapa harus aku mencintai selain dari Dia?

Ya Allah, begitu banyak dosaku. Begitu banyak khilafku. Betapa aku jahil. Setelah Kau campakkan Nur hidayah dalam hatiku, mengapa harus aku berpaling dari-Mu.
Ya Allah, hidayah ini mahal harganya. Hidayah ini satu anugerah. Hidayah ini terlalu hebat. Kerana, dengannya aku temui cinta-Mu. Kerana dengannya aku redha dengan takdir-Mu. Kerana dengannya aku kembali kepada fitrah-Mu.

No comments: