CLICK HERE FOR FREE BLOGGER TEMPLATES, LINK BUTTONS AND MORE! »

Saturday, October 5, 2013

Dari sahabat buat sahabat

Bercinta sebelum bernikah, di mana manisnya perkahwinan itu?
Di mana kemanisan berumah tangga kalau ianya dicemari dengan berkapel sebelum menjadi yang halal?

Satu kisah untuk renungan untuk semua. Perkongsian dari seorang sahabat. 

"Saya bukanlah seorang yang hebat. Bukan juga seorang wanita yang baik. Bukan juga seorang yang "alim". Bukan juga seorang yang solehah. Saya hanya gadis biasa. Kadang terleka dengan dunia. Terhanyut dengan nafsu. Tergoda dengan hasutan syaitan. Dan, terpesong dek kehendak hati remaja. Usia remaja, banyak yang ingin dicuba, banyak yang ingin dicari, banyak yang ingin diterokai.

Sebagai seorang gadis yang dilahirkan dalam keluarga yang besar, kehidupan saya sentiasa dipantau oleh ahli keluarga saya terlebih lagi abang-abang. Dengan siapa saya berkawan, dengan siapa saya bersama, dengan siapa saya keluar pastinya diketahui. menginjak usia remaja, saat saya mula keluar dari rumah, belajar jauh keluarga, disitulah segalanya bermula.

Entah bagaimana, pertemuan semula dengan seorang senior sekolah lama saya mula mengubah prinsip hidup saya iaitu, "Cinta aku untuk lelaki yang bergelar suami aku." Melihat kehidupan saya yang sentiasa diawasi oleh ahli keluarga menjadikan saya gadis kampung yang introvert. Tapi, saya bahagia dengan cara hidup itu.

Dari perkenalan yang biasa, dia mula bercerita soal keluarga dan kerja dia. Sehinggalah kami mula bercerita tentang soal masa depan dan perkahwinan. Berkali-kali saya tegaskan yang saya tak nak berkawan dengan mana-mana lelaki lebih dari seorang kawan, dan tak akan sesekali terjebak dalam kapel. Saya seorang yang hendakkan hubungan yang halal dalam percintaan. Tapi, mulut manis lelaki, akhirnya kami berkapel. Mungkin salah saya juga sebab tak kuat mempertahankan prinsip saya. Walau berkali-kali saya cakap yang saya hanya mahukan seseorang yang serius dalam sebuah perhubungan, dia berkali-kali berjanji yang dia akan menjadi lelaki yang setia dan serius dalam hubungan kami.

Berkali juga saya tanya dia, "Apakah dia benar-benar bersedia untuk terima saya, terima semua kekurangan saya, terima semua sikap saya?"

Perhubungan ini terlalu banyak dugaannya.

Terkadang, saya merasakan yang dia hanya mementingkan diri dia. Dia bukan lelaki yang mampu terima kekurangan saya, terima semua sikap baik buruk saya. Dia bagaikan menerima diri saya dengan bersyarat. Tapi, dia meminta saya menerimanya tanpa syarat.

Dia, dengan kedegilan dan egonya. Saya, dengan ketegasan saya.

Kami pernah keluar bersama, berkali-kali. Tak terkira dengan jari. Dia pernah berjumpa keluarga saya. Walau berkali-kali saya larang andai dia tidak benar-benar serius dalam hubungan kami, jangan jumpa keluarga saya. Itu seolah-olah memberi harapan kepada keluarga saya.

Bertahun berlalu. Akhirnya, hubungan ini tiba ke penghujungnya. Halangan dari pihak keluarga dia terlalu besar untuk ditempuh. Dan, dia seolah-olah redha dengan itu dan tidak berminat untuk mempertahankan hubungan kami, tidak berusaha mempertahankan saya. Sedih? Saya sedikit pun tak rasa. Tapi, kecewa. Ya, saya kecewa. Kecewa kerana janji yang dibuatnya. Kecewa kerana sikapnya. Kecewa kerana keegoannya.

Kerana status saya, keluarganya menolak saya sebelum mereka kenal saya.

Tapi, disebalik semua itu pasti ada hikmahnya. Saya temui siapa diri saya. Saya temui kasih sayang keluarga saya. Saya temui cinta yang saya cari selama ini iaitu cinta yang lebih hebat dari semua cinta di dunia ini, CINTA HAKIKI, cinta pada DIA YANG SATU.

Hari ini, saya mampu tersenyum dengan gelaran yang saya bawa. Hari ini saya mampu tersenyum dengan CINTA yang saya miliki. Hari ini saya bangga dengan apa yang saya milik. Dan, hari ini, saya bangga dengan kehidupan saya. InsyaALLAH, bakal suami saya sedang menunggu saya dengan cinta yang halal, hanya menati saat diijabkabulkan.

Benar, tiada cinta yang lebih hebat dari cinta ALLAH. Benar, tiada cinta yang lebih manis dari menanti dicintai dia yang halal buatmu.
Berkahwin dengan orang yang kamu cintai itu satu kelebihan tapi mencintai orang yang kamu kahwini itu satu kewajipan. 
Andai kata kita habiskan masa bercinta dan berkapel, apakah kita akan pasti dia yang kita cintai itu akan menjadi suami/isteri kita?
Andai ya, di manakah kemanisan rumah tangga itu setelah semuanya dicurah sebelum berkahwin? 
Jika tidak, rugilah kita sebab mensia-siakan cinta yang suci itu buat insan yang tidak layak untuk miliki cinta yang suci itu. 
Cukuplah saya mensia-siakan cinta saya. Janganlah ada sahabat saya yang terleka dan terus mensia-siakan cinta itu.

Kejarlah cinta ALLAH kerana itu cinta hakiki, pastinya nanti, cinta yang kita cari akan kita temui."


p/s: Perkongsian dari seorang sahabat saya. Katanya, dia sudah merasa ruginya bercinta dan berkapel. Cukuplah dia sahaja yang mengalaminya. Kini, dia sedang menanti untuk mencurahkan cintanya buat yang halal baginya, bakal zaujnya. Setelah cinta DIA yang hakiki telah dia temui. 


Gambar di ambil dari En Google. Pemilik sebenar tidak di ketahui. Maaf, ambil tanpa izin. 

No comments: