CLICK HERE FOR FREE BLOGGER TEMPLATES, LINK BUTTONS AND MORE! »

Sunday, December 28, 2014

Aku dan diriku..

Aku mencari diriku.
Dalam hening malam.
Dalam sujudku yang panjang.
Dalam doa penuh kesyahduan.

Saat teruji, hati ini lemah.
Rebah.
Jiwa ini terdera.
Terasa beratnya dugaan Allah. Beratnya ujian Dia.
Panjangnya jalan hidup ini untuk ditempuhi..
Kadang terfikir untuk berhenti. Berhenti dari mencuba. Berhenti dari berjalan di atas jalan itu.

Tapi, saat aku menoleh ke belakang, terlihat jejak yang aku tinggalkan.
Terasa panjangnya jalan hidup ini telah mendewasakan aku.

Saat aku menoleh kebelakang, terlihat wajah-wajah yang setia disisiku.
Terlihat dia yang setia menemani. Dia yang setia mendoa dari jauh. Dia yang mengharap sebuah kejayaan.

Lalu, tertanya diriku.
Jalan ini sudah terlalu panjang.
Sudah hampir ke penghujung.
Kenapa harus menyerah? Kenapa harus berputus asa?
Siapa aku untuk meramal masa depan?
Kenapa harus mengeluh dengan takdir hidup?
Bukankah Allah yang mengatur takdir hidup ini? Pada siapa aku menyalahkan perjalanan hidup ini?

Dan, aku harus bangkit dari kekecewaan semalam.
Jadikan luka semalam itu pemangkin kepada sebuah kejayaan.
Andai ia ditakdirkan milikku, pasti akan kumiliki.
Berserahlah. Tapi berusaha sebelum menyerah. Berdoalah.
Bukankah kau telah berusaha? Bukankah kau telah mencuba?




Tuesday, November 11, 2014

Hingga saat itu terjadi.

Biarpun ku tiada dalam hatimu, cukuplah sekadar kau sentiasa dalam doaku.  :')
Doaku dari kejauhan, moga Allah jagakan kau. Selalu.

Hingga tiba waktu kita dipertemukan.
Dalam pertemuan penuh berkah.
Hingga saat itu, teruslah dalam doa.
Agar hati-hati ini terpelihara.  :)

Di bawah langit yang sama kita berteduh.
Di atas bumi yang sama kita menumpang.
Berpaksikan kiblat yang sama.
Menjadi al-Quran yang satu sebagai panduan.
Mengadu hanya pada DIA yang satu.

Agar pertemuan yang bakal terjadi diberkati ALLAH.
Teruslah berdoa.
Teruslah berada dalam doa.
Hingga waktu itu, jagalah hati kita.
Dari mencintai bukan yang halal.
Agar cinta kita kelak, cinta yang suci.

Doaku, sentiasa.
Moga ALLAH hadirkan rasa cinta buatmu, saat lafaz ijab dan qabul.
Hanya itu.
Hanya satu.
Dan, biarlah berkekalan hingga ke syurga.  J


Friday, November 7, 2014

Kita pasti dipertanggunjawabkan dengan apa yang kita kerjakan.

Teringat pengisian usrah 2 hari lepas. Tadabbur surah an-Nahl, ayat 77 hingga ayat 128. Dari 56 ayat itu, tersentuh dengan kupasan ayat ke 93. 
"Dan jika ALLAH mengkehendaki nescaya DIA menjadikan kamu satu umat saja, tetapi DIA menyesatkan siapa yang DIA kehendaki dan memberi petunjuk kepada siapa yang DIA kehendaki. Tetapi kamu pasti akan ditanya tentang apa yang kamu kerjakan." - Surah an-Nahl, ayat 93
Kupasan kakak naqibah, katanya, dalam ayat ni ALLAH menyatakan yang ALLAH berkuasa untuk jadikan kita satu umat sahaja, umat yang taat pada perintah-NYA. Tetapi, dipertengahan ayat ini ALLAH nyatakan yang DIA beri hidayah kepada siapa yang DIA kehendaki dan sesatkan siapa yang DIA kehendaki. Tetapi, dipenghujungnya, ALLAH nyatakan yang kita pasti akan dipertanggungjawabkan dengan apa yang kita lakukan, baik atau buruk. Pastilah ALLAH mampu untuk jadikan kita satu umat sahaja, tapi, tidak. Kita dijadikan berbagai umat, sebagai peringatan.

Ya. ALLAH tetapkan takdir kita,tapi kita tetap punya pilihan. Antara baik dan buruk, dosa dan pahala, kita yang pilih. Kerana di akhirat sana, kita akan dipertanggungjawabkan dengan apa yang kita lakukan.

Teringat satu ceramah yang aku hadir setahun yang lalu. Penceramah itu bercakap tentang qada dan qadar. Katanya, "ALLAH dah tuliskan takdir kita tapi sebagai hamba, apakah kita hanya berserah sahaja. Sebagai contoh, mungkin saya ni ditakdirkan jadi perompak pada usia 25 tahun. Tapi, kerana doa, kerana saya berusaha mencari ilmu, belajar, akhirnya saya ada disini depan anda semua dan bukan sebagai perompak pada hari ini." 

Petang semalam, baca semula terjemahan surah an-Nahl, hati terdetik untuk terus baca terjemahan surah al-Isra', surah seterusnya. Ayat 15 menarik perhatian saya, seolah ada kaitan dengan ayat 93 surah an-Nahl.
"Barang siapa berbuat suatu dengan petunjuk (ALLAH), maka sesungguhnya itu untuk (keselamatan) dirinya sendiri; dan barang siapa yang tersesat maka sesungguhnya (kerugian) bagi dirinya sendiri. Dan seorang yang berdosa tidak dapat memikul dosa orang lain, tapi Kami tidak akan menyeksa sebelum Kami mengutus seorang rasul." - Surah al-Isra', ayat 15. 

Saya tidak ada ilmu untuk mengupas surah atau mana-mana ayat, tetapi, ayat-ayat diatas ini menarik perhatian saya. Betapa kita akan dipertanggungjawab dengan apa yang kita lakukan. Dan, ALLAH dah utuskan rasul-Nya sebagai tauladan dan al-Quran sebagai panduan.

Wallahu a'lam.

Sunday, October 19, 2014

Ujian dan tarbiyah

Setelah diuji Allah dengan kegagalan yang paling besar yg pernah dia lalui, seorang akhawat ditanya oleh akhawat yang lain, "Kenapa nak terus dijalan dakwah ini? Bukankah Allah telah menguji awak dengan kegagalan? Awak berusaha menyebarkan dakwah, menyeru kepada kebaikan, berjuang di medan tarbiyah, tapi Allah masih menguji awak dengan kegagalan yang sebegitu hebat. Kenapa tak nak berhenti? Berhentilah dengan apa yang awak buat, ia tidak akan merugikan awak. Malah awak mesti ada masa yang lebih banyak untuk belajar."

Sambil tersenyum, akhawat ini menjawab "Sesungguhnya, solatku, ibadahku, hidup dan matiku hanya untuk Allah. Pasti ada hikmah bila Allah uji sebegini. Pasti ada dosa saya yang ingin Allah lunturkan. Allah sedang menolong saya membina kekuatan ruhi. Allah ingin menguji adakah saya mampu meneruskan tarbiyah ini selepas diuji sebegini atau rebah dan berputus asa. Allah lebih mengetahui sedangkan kita tidak." 


SubhanaAllah, hebatnya jati diri seorang Muslim yang teguh berpegang kepada tali ketaqwaan. Yang bergantung sepenuhnya kepada Allah. Menyerahkan seluruh hidupnya hanya kepada Allah. Malah tidak pernah bersangka buruk terhadap takdir-Nya. Kekuatan ini yang kita inginkan. Tarbiyah ini yang kita mahukan. Individu Muslim ini yang ingin kita bina agar terlahirnya sebuah Baitul Muslim, Masyarakat Muslim dan seterusnya Kerajaan Islam. 


Allahurabbi. Mampukah kita menjadi seperti ini? 


Seorang Muslim yang berpegang teguh kepada penciptanya, sentiasa bersangka baik dengan Allah pastinya seorang Muslim yang hebat. Hebat fizikalnya, hebat ruhinya. Berapa ramai yang mampu menjadi seperti ini? 

Di saat diuji dengan kegagalan, dipandang rendah oleh insan lain, dikeji, dihina, diperlekehkan, dia masih terus tersenyum. Tanpa rasa marah atau dendam. Ya Allah Ya Rahman Ya Rahim. Betapa hebatnya cinta hamba-Mu ini. 

Meletakkan Allah dalam kehidupan melebihi segalanya, al-Quran jadi hiburan dan teman, dimanakah dapat kutemui insan sebegini pada zaman ini? Hatinya telah dididik dengan al-Quran dan as-Sunnah. Dipenuhi dengan cahaya petunjuk. Hidupnya hanya untuk Allah. 

Thursday, October 16, 2014

Istiqamah. Mampukah aku?

Istiqamah itu susah. Istiqamah itu harus dipaksa.
Kadang, hampir menangis. Kadang hampir putus asa. Kadang hampir ku ingin tinggalkan segalanya. Kerana terlalu sukarnya bagiku untuk terus istiqamah. Kerana begitu payahnya mengekalkan istiqamah.

Saat pasang surut iman dalam hati, terdetik, dosa apakah yang telah membutakan hatiku yang akhirnya meletakkan urusan dunia lebih dari Dia? Tika aku merasa malas melakukan kebaikan, terdetik, apakah diri ini terlalu hebat hingga sanggup melupakan Dia? Tika aku bertangguh dalam ibadah, terdetik, Dia tidak pernah menangguh saat kematian. Doa yang aku pohon, selalu diminta agar diperkenankan dan dipercepatkan sedangkan aku sering bertangguh melakukan amal. Tanpa ku sedar, aku mementingkan diri sendiri.



Jalan hijrah ini sukar. Penuh onak duri. Perlukan pengorbanan yang tinggi. Perlukan kesabaran. Perlukan kekuatan.

Betapa sukarnya untuk aku dalam jalan hijrah ini. Ingin aku terus di jalan-Nya. Ingin aku terus kembali kepada fitrah. Ingin aku terus mencintai Dia.


Allah. Kau yang membolak-balikkan hati, tetapkanlah hatiku aku dalam agama-Mu. 
Airmata ini, bagaikan empangan yang mengalir. Betapa aku merasa hina. Betapa aku merasa kerdilnya sebagai hamba-Nya.

Kenapa sukarnya untuk aku terus istiqamah dalam agama-Nya? Dosa apakah yang menghalang diriku?

Ada tikanya, saat aku hampir putus asa, hampir rebah, hampir ingin berhenti meraih cinta-Nya, pada tika itu aku sedar betapa agungnya cinta-Nya.

Tika saat aku hanyut dengan keseronokkan dunia, hanyut dengan hiburan, hanyut dengan kehidupan duniawi dan jauh dari Dia; aku merenung ke langit. Saat itu, terasa kerdilnya diri ini disisi-Nya. Betapa hebatnya Dia Yang Maha Mencipta.Aku pernah menangis. Merasa betapa hinanya diri ini,betapa kerdilnya diri ini di hadapan Allah saat aku rebah dengan hasutan syaitan. Terbuai dengan nafsu dunia.

Aku pernah menangis saat merasakan betapa hinanya aku kerana tewas dalam perjuangan ini. Tewas dalam menjadi insan yang lebih baik. Tewas dalam istiqamah dalam ibadah. Tewas dengan hasutan syaitan.

Benar. Dalam saat-saat sukar, aku sering menangis. Tewas. Rebah. Saat aku rasa tidak kuat dalam menempuh ujian Allah. Saat aku merasakannya aku tidak mampu terus dalam jalan hijrahku ini.

Tapi. Aku sedar, Allah sentiasa bersamaku. Tidak pernah tinggalkanku. Setiap ujian dari-Nya adalah tanda kasih-Nya. Untuk melunturkan dosa-dosa silamku.

Dia, Allah, Tuhan yang Maha Pengasih. Begitu banyak yang telah Dia kurniakan dalam hidup ini. Udara yang aku hirup, Angin yang menghembus lembut. Langit yang memayungi. Awan yang berarak membawa hujan. Titis rintik yang lembut menyapa tubuh. Pohon tempat aku berteduh. Semua itu kurniaan Dia. Tak pernah Dia minta dibayar harga untuk semua itu. Tubuh badan yang sihat. Kedua kaki yang membantu aku bergerak diatas bumi-Nya ini. Kedua tangan yang menyuap sesuap nasi. Mata yang mampu melihat indahnya dunia ini. Semua ini milik-Nya, diberi percuma tanpa bayaran. Melainkan untuk aku terus beribadah kepada-Nya.

Jadi, kenapa harus aku berpaling dari-Nya? Mengapa harus aku mencari selain Dia? Mengapa harus aku mencintai selain dari Dia?

Ya Allah, begitu banyak dosaku. Begitu banyak khilafku. Betapa aku jahil. Setelah Kau campakkan Nur hidayah dalam hatiku, mengapa harus aku berpaling dari-Mu.
Ya Allah, hidayah ini mahal harganya. Hidayah ini satu anugerah. Hidayah ini terlalu hebat. Kerana, dengannya aku temui cinta-Mu. Kerana dengannya aku redha dengan takdir-Mu. Kerana dengannya aku kembali kepada fitrah-Mu.

Tuesday, April 22, 2014

Doa seorang ibu.

Semalam, hari terakhir exam. Clinical exam. 2 hari sebelum dapat result. Doakan yang terbaik. :)

Rasa rindu pada Mak.

Bila tengah exam, sibuk dengan exam, semua orang bercakap pasal doa dan yang pasti yang keluar adalah "Minta mak doakan. InsyaAllah, doa mak lagi berkat." - something like that.

Setiap kali exam, pasti akan ada yang cakap, baru ja telefon mak tadi. Minta mak doakan. Minta mak doa bagi lulus exam, mudahkan exam.

Dan, di tengah-tengah tu, aku akan terus terdiam dan tunduk.

Ya Allah, rindunya pada Mak.  :'(

Bila selesai exam, perkara pertama yang terfikir adalah, nak luahkan semua dengan Mak. Tapi sekarang tak lagi. Mana mungkin untuk itu terjadi. Mak dah takda.

Hari terakhir sebelum Mak pergi, pagi sebelum bertolak balik ke Selangor, berborak dengan Mak. Perkara terakhir yang aku beritahu Mak, "Mak, cheq ada cuti lagi, tapi kena balik kolej. Exam bulan 4, nak balik study dulu. Mak, hujung bulan 3 nanti ada satu exam, lepas tu, 2 minggu lagi ada exam juga. Exam final. Lepas tu, boleh balik terus. Mak ingat tau ni. Mak doakan cheq tau." Sambil mata Mak merenung aku lama, Mak cuma anggukkan kepala. Berkali-kali ulang ayat yang sama sampai Mak cakap, "Ya, Mak dengaq."

Ingatkan, Mak akan ingat dan akan mendoakan aku seperti selalu, tetapi, takdir Allah, Mak pergi dulu awal pagi hari esoknya. Hanya 12 jam selepas berpisah dengan Mak.


Redha dari hati

"Bila exam ni, iman macam turun naik."- Fara
Dua minggu mengharungi study weeks. Dua minggu mengharungi exam weeks. Iman terasa bagai diuji. Ada pasang surutnya.

Kadang kala terasa tenang. Hanya berharap penggantungan kepada Allah. Terasa redha dengan takdir Allah. Tahu kuasa Allah melebihi segalanya.

Namun, adakalanya hati ini teruji. Hanyut. Terleka. Terbuai dek hasutan syaitan.

"Bagaimana kalau tak lulus?"
"Banyak lagi tak study ni. Sempat ke?"
"Arghhh!! Malasnya nak baca al-Quran. Tak sempatlah. Banyak lagi tak baca ni."
"Ya Allah, kenapalah susah sangat exam ni?"
"Ishh, tak adil betul lah. Kenapa dia dapat kes senang, aku dapat kes susah?"
"Seronoknya diorang, dapat jawab soalan tadi. Apa yang diorang baca semua keluar. Tapi, aku dah lah tak dapat jawab. Topik yang aku baca pula tak keluar. Semua soalan tak dapat jawab."
"Ya Allah, kenapalah aku selalu saja tak dapat apa yang aku nak?"

Selalu kita akan terpengaruh dengan hasutan syaitan. Mempersoalkan apa yang terjadi. Sedangkan kita tahu, Allah lebih mengetahui segalanya.

Iman ini ada pasang surutnya. Lebih lagi di saat kita sibuk dengan urusan duniawi. Perlunya kebergantungan pada Allah. Pengharapan kepada Allah. Keyakinan pada Allah.

Mengapa harus mempersoalkan takdir Allah?

Bukankah Dia yang menciptakan kita? Bukankah dia yang memegang hati-hati hamba-Nya? Bukankah dia yang menetapkan takdir kita?

Kita sebagai hamba. Jiwa seorang hamba. Merintih. Meminta. Dan, yakin dengan ketentuan Dia.
Redha di bibir adakalanya tidak sama dengan redha di hati.
Benar. Bibir mudah mengucap redha. Mudah mengatakan, "Ya. Semua ini dari Allah. Saya redha dengan apa yang Allah tetapkan."

Tapi, berapa ramai yang benar-benar ikhlas dengan redha itu? 
Ikhlaskah kita setiap kali menuturkannya? 

Kerana itu, perlunya untuk kita kembali kepada Dia saat teruji. Memohon dan meminta agar diberi kekuatan saat teruji. Agar ikhlas dalam menerima takdir Illahi.
Pesan Mak, "Ikhlas dalam apa yang kita lakukan. Tetap yakin kepada Allah." 
Aku juga seperti kamu. Adakalanya merasakan hidup ini bagaikan tidak adil. Tidak memihak kepada aku. Tapi, percayalah, apa yang Allah sembunyikan itu pasti lebih baik. Setiap doa kita yang Allah simpan itu, pasti ada hikmahnya. Yakin dan percaya pada Dia. Kerana Dia sentiasa ada.